Ramadhan dan Penyusuan Ibu
Tatkala Ramadhan menjelang tiba, sudah
pasti setiap ibu yang menyusukan anak melahirkan kebimbangan di hati.
Bukan tidak mampu untuk menunaikan ibadah yang tercatit dalam Rukun
Islam tetapi kegusaran mengenangkan bagaimana untuk menyusukan bayi
sedangkan diri terikat dengan ibadah puasa. Yang dikhuatirkan ialah
pengeluaran susu ibu semakin berkurang dan ibu tidak dapat menyesuaikan
diri dalam keadaan berpuasa. Itulah stigma yang seringkali kita dengar
bahkan seringkali disogokkan oleh kebanyakan orang.
Dalam Islam, setiap ibu yang menyusukan
ataupun hamil dibolehkan berbuka puasa sebagai satu bentuk keringanan
yang ditawarkan. Tetapi perlu ada sebab mengapa diberikan pilihan untuk
berbuka kerana ia mempengaruhi cara penggantian hari berpuasa yang
ditinggalkan. Sebab itulah, setiap wanita yang menyusukan bayi ataupun
hamil perlu memahami perkara- perkara yang bersangkutan dengan
pengurusan berpuasa iaitu bila keharusan untuk berbuka dan kesannya dari
segi qadha' dan fidyah.
Namun, dengan kajian- kajian yang
dilakukan oleh ramai penyelidik, berpuasa tidak mendatangkan kemudaratan
terhadap ibu- ibu yang menyusukan anak. Dengan itu, kaum ibu tidak
perlu risau akan kekurangan penghasilan susu dan kesannya terhadap bayi
selagi mana mereka istiqamah dalam mengamalkan pemakanan yang seimbang
dan sihat semasa di bulan Ramadhan. Kebimbangan dan kekhuatiran tidak
seharusnya timbul apatah lagi berpuasa sebenarnya lebih banyak memberi
kemanfaatan kepada semua berbanding kemudaratan. Kemudaratan hanya
berlaku dalam kes- kes terpencil yang diharuskan dalam agama untuk
berbuka puasa.
Pelbagai persoalan yang timbul di
fikiran ibu- ibu yang menyusukan bayi berkenaan dengan puasa. Namun, ia
mungkin akan terjawab jika kita sendiri faham akan erti pengurusan puasa
dan juga tahu akan natijahnya dari sudut perspektif sains. Kadangkala
bukan ibu yang menyusukan bayi bimbang akan kesihatan tetapi masyarakat
sekeliling ataupun keluarga terdekat yang mempengaruhi minda dan
pemikiran ibu- ibu bahawa berpuasa boleh membahayakan bayi yang disusui.
Lantas, sebab itulah perlunya pemahaman yang mendalam tentang puasa dan
peri pentingnya penyusuan susu ibu agar pilihan untuk berbuka puasa itu
dapat diminimumkan. Ia merupakan satu langkah yang proaktif supaya
tidak timbul masalah yang mendatang dan kesihatan ibu dan anak juga akan
diberkati Allah natijah daripada manfaat puasa itu sendiri.
Banyak kajian menyatakan bahawa berpuasa
tidak akan mengurangkan pengeluaran susu ibu tetapi berlakunya
dehidrasi yang teruk kepada si ibu akan menyebabkan bekalan susu ibu
akan berkurangan. Jika kita lihat, berpuasa hanya melibatkan penahanan
diri daripada makan dan minum hanya memakan tempoh yang sekejap. Jadi
tidak timbul masalah dehidrasi jika kita mengamalkan cara pemakanan yang
telah dianjurkan dan minum air dalam kuantiti yang cukup. Ada
sesetengah individu yang kekurangan air di dalam badan adalah disebabkan
kurangnya pengambilan air yang mencukupi sewaktu berbuka puasa dan
kesannya adalah kepada badan untuk keesokan hari. Badan yang kekurangan
air akan menyebabkan keletihan yang berpanjangan, sebab itulah
disarankan agar mendapat bekalan air yang mencukupi untuk badan segar
dan bertenaga terutamanya bagi ibu- ibu yang menyusukan bayi.
Ada juga sesetengah pendapat mengatakan
bahawa, jika ibu- ibu berpuasa, akan meningkatkan penghasilan toksin di
dalam badan dan akhirnya juga terdapat dalam susu ibu yang akan memberi
kesan terhadap bayi. Namun, perlu kita ingat, bayi juga memiliki sistem
imun yang dapat menahan diri mereka daripada serangan penyakit.
Tanggapan sebegini perlu kita ambil iktibar dan diterjermahkan dalam
ertikata puasa yang kita jalani. Allah mensyariatkan berpuasa kepada
hamba- hambaNya kerana pelbagai faedah dan manfaat yang diperolehi
daripadanya. Terpulang kepada diri kita untuk memanifestasikan puasa
dalam kehidupan yang sebenar dengan situasi seperti ibu- ibu yang
menyusukan bayi. Kajian yang dijalankan di Afrika Barat mendapati bahawa
berpuasa pada bulan Ramadhan tidak memberi kesan kepada pengeluaran
susu ibu yang menyusukan bayi tetapi kemungkinan komposisi susu ibu
tersebut akan berubah. Hal ini adalah sejajar jika dikaitkan dengan
pemakanan ibu semasa bulan Ramadhan kerana nutrien susu adalah
bergantung kepada pemakanan ibu. Seandainya pemakanan sihat dan sempurna
yang diamalkan, ia tidak akan mengundang masalah terhadap komposisi
susu tersebut tetapi jika terdapat kekurangan dalam pengambilan makanan,
kemungkinan komposisi tersebut akan berubah. Namun, ia tidak
mendatangkan masalah terhadap kesihatan bayi. Ini kerana, ia boleh
dilihat sebagai suatu kitaran iaitu, ibu- ibu boleh menggantikan makanan
atau zat yang tidak cukup tersebut selepas waktu berbuka. Selagi mana
pemakanan sihat diutamakan, tiada masalah yang diundang buat ibu dan
bayi yang menyusu.
Penyelidikan yang dijalankan di Amerika
Syarikat juga menunjukkan tiada kesan yang signifikan terhadap
pengurangan susu ibu semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Badan wanita
yang menyusukan bayi akan membuat beberapa penyesuaian metabolik semasa
berpuasa untuk memastikan agar pengeluaran susu ibu tidak terganggu.
Sungguh hebat penciptaan Allah. Penyusuan susu ibu digalakkan di dalam
Islam dan dalam masa yang sama disyariatkan berpuasa dalam bulan
Ramadhan. Suruhan ini terkandung implikasi yang mendalam terhadap
kesihatan setiap manusia khususnya yang bergelar ibu. Malah ada pula
rukhsah yang dibolehkan berbuka puasa, istimewa untuk golongan tersebut
jika berlaku kekhuatiran dan keadaan yang tidak diduga. Tetapi, bagi
kita yang ingin merebut peluang berpuasa di bulan yang mulia seharusnya
tidak menjadikan penyusuan susu ibu sebagai suatu halangan untuk
mendapat dua ganjaran yang hebat tersebut dalam masa yang sama. Ditambah
lagi, kajian- kajian sains terkini yang membuktikan tiada permasalahan
yang menghalang wanita yang menyusukan bayi untuk berpuasa dari segi
kesihatan ibu dan bayi itu sendiri. Malah, kita seharusnya percaya,
sudah pasti ada hikmah dan keistimewaan yang tersirat di samping yang
tersurat dengan apa yang Allah telah tentukan buat hambaNya yang
bergelar wanita dan ibu.
Sesungguhnya Ramadhan akan menjadi lebih
bermakna jika sebagai ibu, kita tidak mengambil mudah akan hal
melaksanakan puasa dan meneruskan penyusuan bayi. Seboleh yang mungkin
untuk meminimumkan pilihan berbuka puasa jika tiada apa- apa masalah
ketika menyusukan bayi. Secara tuntasnya, sebagai langkah proaktif bagi
ibu- ibu, seharusnya mengambil peluang untuk mengkaji lebih mendalam
hakikat disyariatkan penyusuan susu ibu dan tidak menjadikan Ramadhan
sebagai satu halangan untuk memberhentikan penyusuan ibu mahupun
mengambil langkah berbuka puasa sewenang- wenangnya untuk menyusukan
bayi tanpa ada sebab yang munasabah. Yang paling penting ialah
pendidikan pemakanan yang sihat harus disemai dalam setiap diri ibu yang
menyusukan bayi agar dapat mengharungi bulanpuasa dengan sihat dan
cergas tanpa sebarang masalah.
No comments:
Post a Comment